top of page
bpedosm

15.7 juta penduduk Malaysia 2019 wanita


PUTRAJAYA: Dianggarkan 15.7 juta penduduk Malaysia pada 2019 adalah wanita daripada keseluruhan 32.5 juta penduduk.

Dari segi kelahiran pula, bayi perempuan mencatatkan 235,467 kelahiran daripada keseluruhan 487,957 kelahiran hidup.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata wanita sebagai ketua isi rumah pula dianggarkan membelanjakan RM3,666 sebulan dengan perbelanjaan ke atas makanan dan minuman alkohol sebanyak RM690 atau 18.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

Sementara itu, Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat sub-indeks merangkumi Peluang dan Penyertaan Ekonomi, Pencapaian Pendidikan, Kesihatan dan Kehidupan serta Penguasaan Politik.

Skor dengan nilai 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki dicapai.

Beliau berkata, MGGI menunjukkan purata skor 0.709, ataupun 70.9 peratus pada 2019.

Katanya, pencapaian wanita melebihi lelaki dalam sub-indeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.053, manakala sub-indeks Kesihatan dan Kehidupan mencatatkan skor 0.958, diikuti sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi (skor 0.717).

"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus pada 2019 jika dibandingkan dengan negara lain seperti Australia (72.5 peratus) dan Singapura (69.1 peratus).

"Secara amnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus.

"Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.8 peratus (skor 0.108) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan Menteri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, peratusan skor meningkat berbanding 2018 (0.106)," katanya dalam kenyataan bagi Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih, Malaysia, 2020, hari ini.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan skor MGGI 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-73 dunia, jatuh 10 anak tangga berbanding 2018 di mana Malaysia menduduki tempat ke-63 (skor 0.711).

Beliau berkata, pada masa yang sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia kekal berada di kedudukan keenam seperti pada 2018 dan mendahului Thailand, Indonesia, China dan Brunei Darussalam.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia masih di belakang New Zealand, Australia dan Singapura".

Jabatan Perangkaan memperkenalkan MGGI mengikut negeri bagi 2019 untuk pertama kalinya dalam penerbitan kali ini.

Tiga negeri yang mencatatkan skor tertinggi pada 2019 ialah Kuala Lumpur, Kelantan dan Perlis masing-masing mencatatkan 0.846, 0.795 dan 0.769.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa komited untuk mencapai kesaksamaan gender dan mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Kerajaan terus komited dalam usaha ke arah mencapai matlamat kesaksamaan gender selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-11," katanya.

Sementara itu Mohd Uzir selaku Pesuruhjaya Banci 2020, berkata dianggarkan sembilan juta tempat kediaman akan diliputi ketika Banci 2020 membabitkan 32.7 juta penduduk.

Sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 20.8 peratus tempat kediaman selesai pengisian e-Census dengan membabitkan 18.6 peratus penduduk.

Orang ramai dinasihatkan untuk melengkapkan e-Census sebelum tarikh tutup atau pembanci akan melawat ke rumah bermula 20 Januari hingga 6 Februari 2021.

"Data yang dikumpulkan melalui Banci 2020 sangat berguna untuk penggubalan dan perancangan dasar serta pemantauan program. Ia juga berguna untuk kajian dan penyelidikan sosio demografi," katanya.

0 lihatan0 komen

Commentaires


Post: Blog2 Post
bottom of page