PUTRAJAYA – Tahap kesaksamaan gender di negara ini merosot kepada 70.9 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya (71.7 peratus) dengan Penguasaan Politik merekodkan skor terendah iaitu 0.108.
Skor itu adalah antara empat sub-indeks dalam Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2017 – 2019 selain sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi (0.717), Pencapaian Pendidikan (1.053), Kesihatan dan Kehidupan (0.958).
Skor MGGI itu didedahkan menerusi Penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, skor terendah dalam Penguasaan Politik menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan Menteri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, katanya, peratusan skor Penguasaan Politik itu meningkat berbanding tahun 2018 dan 2017 yang merekodkan skor 0.106 dan 0.061.
“Pencapaian wanita telah melebihi lelaki hanya dalam sub-indeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.053.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita juga masih rendah iaitu 55.6 peratus pada tahun 2019 jika dibandingkan dengan negara lain seperti Australia (72.5 peratus) dan Singapura (69.1 peratus). Secara amnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Comments